Sunday, August 24, 2008

Kelebihan sedekah....

Diceritakan dalam sebuah hadist yang diriwayatkan oleh Turmudzi dan Ahmad, seperti berikut :

Tatkala Allah Ta’ala menciptakan bumi, maka bumipun bergetar. Lalu Allah menciptakan gunung dengan kekuatan yang telah diberikan kepadanya, ternyata bumipun terdiam.

Para malaikat kehairanan akan penciptaan gunung tersebut. Kemudian mereka bertanya "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada gunung ?"

Allah menjawab, " Ada , iaitu besi" (kita mafhum bahawa gunung batupun boleh menjadi rata ketika dikorek/bore dan diratakan oleh buldozer atau sejenisnya yang dibuat dari besi),

Para malaikat bertanya lagi "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada besi ?"

Allah yang Maha Suci menjawab, " Ada , iaitu api" (besi walau sekeras manapun boleh menjadi cair dan hancur setelah dibakar api),

Para malaikat kembali bertanya "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada api ?"

Allah yang Maha Agung menjawab, " Ada , iaitu air" (api membara sedahsyat apapun niscaya akan padam jika disiram air),

Para malaikatpun bertanya kembali "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada air ?"

Allah yang Maha Tinggi dan Maha Sempurna menjawab, " Ada , iaitu angin" (air disamudera yang luas akan serta merta terangkat, bergulung-gulung dan menjelma menjadi gelombang raksasa yang dahsyat, tiada lain kerana kekuatan angin. Angin ternyata memiliki kekuatan yang teramat dahsyat),

Akhirnya para malaikatpun bertanya lagi "Ya Allah, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih dahsyat dari itu semua ?"

Allah yang Maha Gagah dan Maha Dahsyat kehebatannya menjawab, " Ada , iaitu amal anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahuinya ".

Ertinya, yang paling hebat, paling kuat dan paling dahsyat sebenarnya adalah orang yang bersedekah tetapi tetap mampu menguasai dirinya, sehingga sedekah yang dilakukannya bersih , tulus dan ikhlas


Berkaitan dengan ikhlas ini, RasulAllah SAW mengingatkan dalam pidatonya ketika beliau sampai di Madinah pada waktu hijrah dari Makkah : "Wahai segenap manusia ! Sesungguhnya amal itu tergantung kepada niat , dan seseorang akan mendapatkan (pahala) sesuai dengan apa yang diniatkannya" .

Oleh kerana itu hendaknya kita selalu mengiringi sedekah kita dengan niat yang ikhlas hanya kerana Allah semata , tanpa berasa ingin dipuji, dianggap dermawan, dihormati, dll yang dapat menjadikan sedekah kita menjadi sia-sia.

Selamat Menunaikan Ibadah Puasa...


Solat benteng perbuatan maksiat...

Solat liwa waktu bukan sekadar salah satu daripada rukun Islam.


SOLAT merupakan ibadah agung yang menjadi satu amalan wajib kepada semua Muslim. Ia adalah ibadah unggul yang merupakan asas penting yang terkandung dalam rukun Islam.

Firman Allah: 'Dan dirikan solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada ketika yang berhampiran dengannya daripada waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu (terutamanya solat) akan menghapuskan dosa. Perintah Allah s.w.t yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang yang ingin mendapat peringatan.' - surah Hud:114.

Sabda Rasulullah: 'Islam dibina atas lima (rukun). Bersaksi bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah hambaNya dan RasulNya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa pada bulan Ramadan.' - hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Sifat seorang mukmin yang cemerlang dikaitkan dengan amalan sifat-sifat yang mulia berhubungan dengan sifat khusyuk dalam melaksanakan solat.

Amalan solat yang sempurna boleh menyuci dan memberi ketenangan jiwa. Dalam satu riwayat hadis daripada Abi Uthman, katanya, ketika dia bersama Salman al-Farisi di bawah sepohon pokok, beliau memegang sebatang dahan kering dari pokok tersebut. Lalu Salman menggerak-gerakkan dahan itu sehingga daun-daun pada dahan itu gugur.

Kemudian dia berkata kepadaku: 'Wahai Abu Uthman, mengapa kamu tidak bertanya sebab saya berbuat begini?' Saya bertanya, 'Beritahulah kenapa kamu berbuat begitu?'

Beliau menjawab: 'Beginilah yang dilakukan oleh Rasulullah di hadapan saya semasa saya bersama baginda di bawah sepohon pokok. Baginda telah mengambil sebatang dahan kering dari sepohon pokok lalu melakukan sebegini sehingga semua daun gugur.

Kemudian Baginda bertanya kepada saya: 'Salman, mengapa kamu tidak bertanya sebab saya berbuat begini? Sahutku: 'Beritahuku mengapa tuan berbuat begitu?'

Baginda bersabda: 'Sesungguhnya apabila seseorang Islam mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian dia menunaikan solat lima waktu maka gugurlah dosanya seperti gugurnya daun-daun ini'.

Kemudian Baginda membaca ayat al-Quran dalam surah Hud ayat 11, Hadis Ahmad dan Tabrani.

Amalan solat merupakan kemuncak kepada kepercayaan terhadap akidah dan yang menjadi matlamat dalam kehidupan. Percaya dan yakin kepada Allah bukan sahaja dengan kata-kata tetapi perlu diikuti dengan perbuatan yang ikhlas.

Kepercayaan yang mantap akan mendidik jiwa raga agar sentiasa mengambil berat terhadap amalan dan perintah solat yang wajib. Dalam solat, banyak ungkapan ikrar dilafazkan. Antaranya seperti yang terkandung dalam iftitah dan tahiyyat.

Contohnya: 'Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah sekalian alam', 'Dan adalahku daripada golongan yang menyerah dan taat kepada Allah'. Ikrar ini akan diulang setiap kali ketika menunaikan solat agar akidah sentiasa mantap.

Amalan solat juga mengandungi bacaan berupa doa. Ini didapati dalam surah al-Fatihah, dalam bacaan ketika sujud dan dalam bacaan Qunut. Contohnya: 'Tunjukanlah kami jalan yang lurus. Jalan yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka. Bukan jalan Engkau murka dan bukan jalan orang sesat. Perkenankanlah.'

Dalam solat juga terdapat zikir. Yang bermaksud lafaz lisan yang mengandungi pujian, sanjungan, merendah diri dan doa. Firman Allah s.w.t: 'Dan ingatilah Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan takut dan bukan dengan suara yang keras, di waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau termasuk sebahagian daripada orang-orang yang lalai. Solat mendidik hati dan mensucikan jiwa.

Solat yang sempurna dan khusyuk memberi kesan yang mendalam kepada seseorang. Hati dan jiwa yang resah gelisah menjadi tenang, tingkah laku buruk boleh dirawat dan menjadi benteng kepada melakukan perbuatan maksiat dan dosa.

Diriwayatkan daripada Huzaifah, katanya: 'Apabila Rasulullah mengalami sesuatu kesulitan, Baginda segera mengerjakan solat.' - hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud. Pintu taubat juga terbuka luas melalui amalan solat.

Seseorang yang menghayati amalan solat akan berasa menyesal dan serba salah apabila meninggalkan solat. Tegas Rasulullah dalam sabdanya: 'Daripada Abu Hurairah r.a, saya mendengar Rasululah bersabda: 'Jika sebatang anak sungai mengalir di hadapan pintu rumah salah seorang daripada kamu dan dia mandi dalam sungai itu lima kali sehari, pada pendapat kamu, masih adakah lagi kekotoran (pada badanya)?'

Para sahabat menjawab, 'Tidak akan tertinggal sedikit pun kekotoran'. Rasulullah bersabda: 'Maka demikianlah juga solat lima waktu. Melalui solat Allah akan mengampunkan dosa.' - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Sumber : Utusan Kosmo : FAMILI


Benarkah wanita sensitif, lelaki ego?


LELAKI dan wanita sebenarnya saling melengkapi.



LELAKI antara golongan yang paling peka terhadap perubahan sikap seorang wanita mahupun kekurangan yang ada pada diri wanita terbabit, lebih-lebih lagi insan paling dicintainya.

Sikapnya yang terlalu cerewet, sentiasa inginkan kebenaran daripada penafian, keputusan sentiasa berpihak kepadanya dan tidak pernah berasa mengalah malah lebih bersikap egoisme, antara karakter utama wanita yang seringkali membuatkan lelaki berasa putus asa untuk memahami kemahuan mereka.

Namun, di sebalik ketidakpuasan hati itu, kamu seharusnya mengkaji dulu akan kebenaran yang ingin mereka sampaikan dalam meniti pasca percintaan. Intim berkongsi mitos wanita pada mata lelaki dan kenyataan di sebalik kesulitan yang dihadapi.

n Wanita cerewet dalam pelbagai perkara. Contohnya, idea, pendapat, cara kerja, makanan, tempat tinggal mahupun pemilihan pasangan yang ideal.

Kenyataannya:

Menurut penelitian, setiap wanita mempunyai kemampuan dalam penggunaan bahasa yang baik jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Ini dapat dibuktikan apabila dia mula bicara. Pengunaan kedua-dua sisi otak secara serentak dengan memikirkan pro dan kontra sesuatu perkara, membuatkan wanita mampu menangani masalah yang dihadapi. Berbanding lelaki, mereka acap kali mencari jalan yang singkat dalam menentukan dan menyelesaikan sesuatu masalah atau perkara yang berlaku dalam satu masa yang sama.

Tetapi, lelaki mempunyai kemampuan dalam penerimaan suatu informasi atau teguran dengan tabah dan profesional, sedangkan si wanita sering terbawa-bawa masalah yang dihadapinya itu ke dalam pemikiran.

Diingatkan, jangan sesekali mengutuk atau mencaci akan kelemahan pasangan kamu kepada orang lain. Ia dapat diselesaikan dengan cara komunikasi dua hala, antara jalan terbaik untuk kamu mengatasi masalah yang dihadapi.

n Kaum lelaki begitu sukar untuk memahami keinginan wanitanya, memandangkan pasangannya itu tidak pernah berasa puas dengan segala pengorbanan yang mereka curahkan selama ini.

Kenyataannya:

Sesungguhnya kamu sebagai kaum hawa perlu berpuas hati dan berasa bangga dengan apa jua penghargaan yang telah pasangan berikan. Tetapi, sebagai wanita, dia merasakan bahawa pasangannya dapat melakukan yang terbaik lagi.

Sekecil mana pun usaha yang si jejaka lakukan demi menyenangkan hidup kamu, beri penghargaan terhadapnya.

n Perempuan terlalu sensitif sehingga tidak dapat menahan sikap rasionalnya.

Kenyataannya:

Sedar ataupun tidak, perempuan lebih banyak berkomunikasi dengan perasaan berbanding kaum lelaki. Kajian yang dilakukan oleh seorang neurologi dari University of Pennsylvania, Professor Ruben Gur mendapati, 70 peratus tenaga yang digunakan dalam otak lelaki akan berhenti ketika dalam keadaan istirehat. Sedangkan otak wanita, 90 peratus tenaganya akan tetap berkerja. Ia membuatkan wanita cepat sensitif dan dapat berfikir rasional dalam suatu waktu yang sama.

n Perempuan sentiasa mengawal pergerakan, kehendak dan cita rasa kaum lelaki, sehingga berjaya menguasai kemampuan mereka.

Kenyataannya:

Perempuan bukannya dilahirkan untuk mengawal setiap pergerakan kaum Adam. Mereka hanya ingin memastikan sahaja bahawa si dia, insan paling dicintai berada dalam keadaan yang baik dan terjaga.

Malah, mereka juga ingin menjadi insan pertama yang hadir di saat pasangannya menghadapi masalah, kesepian, dan kedukaan.

n Benarkah wanita tidak perlukan kasih-sayang seorang lelaki?

Kenyataannya:

Untuk menjadi seorang superwomen bukannya bererti wanita tidak memerlukan dirinya dihargai oleh seorang jejaka. Kepada wanita, katakan sahaja kepada pasangan, bahawa kamu tetap memerlukan kasih sayang, perlindungan, belaian dan kenikmatan cinta daripadanya.

n Perempuan memiliki radar kepekaan atau six sense

Kenyataannya:

Perempuan dilengkapi dengan kecekapan panca indera yang jauh lebih baik daripada kaum lelaki. Menurut penulis Sillyman from Mars, Pitywoman from Venus, Allan dan Barbara Pease, sebagai insan yang melahirkan dan menjaga rumah, mereka perlukan kemampuan dan kebijaksanaan dalam merasakan sesuatu perkara yang melibat dua hati dan perubahan sikap orang lain.

Kaum lelaki pula, diingatkan jangan terlalu terburu-buru buruk sangka akan kebolehan yang mereka peroleh, malah perlu selidik dahulu sebelum melakukan dan melafazkan sesuatu perkara. - NOOR HASLIZA NUSI

Sumber: Utusan KOSMO : FAMILI

Kelebihan Solat Tarawih...


1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga
Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat
Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima
Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.

6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh
Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.

8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan
Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh
Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.

11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas
Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas
Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas
Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.

15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas
Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas
Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas
Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas
Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas
Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh
Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat
Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima
Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan
Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.

29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh
Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.

Sumber : Darulnuman

Ibadah Puasa...

" Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semuga kamu menjadi orang yang bertakwa."
Surah Al Baqarah, ayat 183

Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."



PENGERTIAN PUASA















  • Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari.
  • PUASA WAJIB

  • Puasa bulan Ramadan, puasa kifarat dan puasa nazar.
  • PUASA SUNAT

  • Puasa enam hari pada bulan Syawal
  • Puasa hari Arafah
  • Puasa Hari Asyura pada 10 Muharam
  • Puasa bulan Syaaban
  • Puasa Isnin dan Khamis
  • Puasa tengah bulan iaitu 13,14,15 pada tiap-tiap bulan qamaria (tahun Hijrah)
  • PUASA MAKRUH

  • Puasa yang terus menerus sepanjang masa
  • Tidak termasuk dua hari raya dan hari tasyriq
  • PUASA HARAM

  • Puasa pada hari raya pertama Idil Fitri
  • Puasa pada hari raya pertama Haji
  • Puasa tiga hari sesudah hari raya haji atau hari tasyriq iaitu pada 11,12, dan 13 Zulhijjah.
  • SYARAT WAJIB PUASA

  • Berakal
  • Akhir Baligh (Cukup umur)
  • Kuat atau mampu mengerjakan puasa
  • SYARAT SAH PUASA

  • Islam
  • Mumayyiz (dapat membezakan yang baik dan buruk)
  • Suci daripada haid dan nifas
  • Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa.
  • RUKUN PUASA

  • Berniat - Pada malam selama bulan Ramadhan hendaklah berniat di dalam hati bahawa kita akan mengerjakan puasa pada hari esok.
  • Menahan diri daripada segala yang membatalkan semenjak terbit fajar sampai terbenam matahari.
  • PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

  • Makan dan minum dengan sengaja
  • Muntah dengan sengaja
  • Bersetubuh tanpa keluar mani pada siang hari bulan Ramadhan
  • Keluar darah haid atau nifas
  • Gila
  • Keluar mani akibat bersetubuh dengan perempuan. Tetapi keluar mani kerana bermimpi tidak membatalkan puasa.
  • ORANG YANG DIIZINKAN BERBUKA ATAU TIDAK BERPUASA

  • Orang yang sakit
  • Orang yang dalam perjalanan jarak jauh melebihi 52 batu atau 80.64 km.
  • Orang tua yang sudah lemah
  • Orang yang hamil dan orang yang menyusukan anak.


  • PANDUAN KESIHATAN DI BULAN RAMADAN ...

    Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.

    Puasa di bulan Ramadhan adalah wajib bagi semua umat Islam yang berkuasa tanpa mengira lelaki, perempuan, tua ataupun muda sebagai menyempurnakan rukun Islam yang ketiga. Di samping menunaikan ibadat kepada Allah subhanahu wa ta’ala dengan harapan ganjaran yang dijanjikan, melalui puasa individu muslim itu akan mendapat kekuatan spiritual dan latihan disiplin diri terhadap tuntutan nafsu.

    Meskipun setiap orang berkewajipan menunaikan puasa dan janji-janji lipatan pahala Allah adalah besar, namun Islam memberi kelonggaran bagi orang-orang yang tidak mampu mengerjakannya. Di dalam ayat 184, surah al-Baqarah, Allah subhanahu wa ta’ala berfirman: “sesiapa daripada kamu yang sakit ataupun dalam perjalanan (musafir), bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang dibuka pada hari yang lain.”

    Ayat di atas merupakan nas yang jelas tentang kekecualian yang diberikan terhadap orang-orang tertentu seperti para musafir dan orang sakit. Kekecualian seperti ini tidak harus digunakan bagi kepentingan peribadi dan duniawi. Bahkan mereka yang berupaya wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan dengan cara berpuasa pada hari yang lain. Hanya bagi yang tidak berupaya langsung dibenarkan membayar fidyah.

    Artikel ini sekadar membicarakan beberapa isu berkaitan masalah kesihatan dan penjagaannya dalam mengharungi bulan puasa agar kita dapat menyempurnakan ibadat yang mulia ini dengan baik. Terlebih dahulu ada baiknya kita bicarakan beberapa perkara berkaitan dengan rawatan, khususnya dalam perubatan moden.

    Bagi penyakit akut, yang kadang-kadang datang dengan tiba-tiba dan memerlukan pengambilan ubat-ubatan secara oral, wajarlah pesakit mengambil ubat-ubatan yang dipreskripsi. Pesakit harus berbuka puasa sekiranya dengan berpuasa ia boleh menimbulkan komplikasi yang tidak diingini. Di antara penyakit-penyakit akut yang dimaksudkan ialah demam, batuk, sakit kepala, sakit perut dan seumpamanya.

    Bagaimanapun, adalah baik sekali seandainya doktor perubatan boleh mengatur waktu supaya pesakit boleh terus berpuasa dan mengambil ubat di waktu berbuka atau sebelum imsak. Tetapi janganlah dengan sebab berpuasa menyebabkan penyakit pesakit menjadi lambat sembuh. Jikalau puasa mengganggu proses ke arah kesembuhan ataupun keadaan boleh memudaratkan si pesakit, pesakit harus mengambil ubat mengikut jadual dan menggantikan puasa di bulan yang lain.

    Ada pesakit yang berpuasa dan menerima rawatan suntikan di mana ubat boleh diambil di waktu malam. Dalam hal ini suntikan ubat tidak membatalkan puasa. Bahkan pesakit boleh terus berpuasa walaupun dia dimasukkan air sodium chloride atau darah di hospital atas sebab-sebab kesihatan. Memasukkan bahan-bahan berkenaan berbeza dengan memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang sudah tersedia.

    Berkaitan dengan isu ini ialah rawatan penyakit mata seperti konjunktivitis. Terdapat di dalam rawatan moden dan homeopati di mana ubat diberi dengan cara menitiskan airnya ke dalam mata. Sekiranya rawatan ini dilakukan, jelas sekali ia membatalkan puasa kerana ia melibatkan memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan.

    Bagi mereka yang mengidap penyakit-penyakit serius, keadaan yang menyebabkan mereka tidak boleh berpuasa mungkin disebabkan mereka terpaksa mengambil ubat-ubatan di dalam waktunya (termasuk sebelah siang) atau kemudaratan yang mungkin timbul kerana keadaan tubuh yang lemah atau berpenyakit. Bagi mendapatkan jawapan bagi persoalan sama ada mereka harus berpuasa atau tidak, perlulah si pesakit itu mendapat pandangan doktor dan ahli agama.

    Di antara penyakit-penyakit serius mungkin termasuk pesakit jantung, pengidap AIDS, kanser, kencing manis, buah pinggang, epilepsi, asma, gastrik yang teruk, pendarahan dan lain-lain lagi. Komplikasi mungkin berlaku sekiranya mereka berpuasa berterusan selama sebulan. Umumnya mereka diberi keringanan meninggalkan puasa dengan menggantikannya pada bulan yang, melainkan mereka yang tidak boleh berpuasa langsung.

    Kemungkinan memperoleh rawatan alternatif yang membolehkan seseorang itu berpuasa juga harus ditimbang sekiranya rawatan itu dapat membantu dan dapat memperbaiki keadaan kesihatan. Agama Islam tidak pernah membezakan di antara apa jua sistem rawatan yang wujud hari ini selagi ianya berkesan, tidak menyalahi akidah dan boleh membantu pesakit menjalani urusan harian atau beribadat. Kepercayaan bahawa setiap cabang ilmu itu datangnya daripada Allah subhanahu wa ta’ala adalah penting dalam memahami prinsip toleransi dalam memilih kaedah rawatan yang sesuai.

    Seperkara lagi ialah berkaitan dengan prosedur diagnosis. Di dalam amalan perubatan moden terdapat bentuk-bentuk diagnosis yang mungkin membatalkan puasa. Sementara sebahagian daripada diagnosis itu pula boleh diatur terlebih awal. Di dalam hal ini, pesakit boleh merancang tarikh dan waktu diagnosis dengan doktor sekiranya kaedah diagnosis itu boleh membatalkan puasa.

    Sebagai contoh ujian gastroskopi (gastroscopy), sigmoidoskopi (sigmoido-scopy) atau kolonoskopi (colonoscopy) adalah di antara kaedah diagnosis yang boleh membatalkan puasa. Sekiranya keadaan penyakit tidak mendesak, diagnosis boleh ditangguhkan atau dilakukan selepas bulan Ramadhan. Tetapi bagi kes-kes yang serius dan memerlukan tindakan segera, pesakit tidak harus menangguhkan temujanji yang telah dibuat. Puasa perlulah diganti pada hari yang lain.

    Oleh kerana puasa merupakan suatu ibadat yang dijalankan untuk suatu jangka masa yang panjang, bukan sahaja persediaan rohani dan mental pesakit perlu kuat. Keadaan fizikalnya juga mesti kuat dan berdaya tahan. Kita selalu sebut bahawa salah satu implikasi positif puasa ialah dari segi memberi kerehatan yang cukup kepada sistem pencernaan. Demikian juga kepada anggota lain yang berhubungan secara tidak langsung. Ini ada benarnya.

    Namun tanpa penjagaan kesihatan yang sempurna atau sikap mengambil berat terhadap pemakanan, seseorang boleh mengundang pelbagai penyakit di bulan puasa. Di antaranya ialah keracunan, cirit-birit dan taun. Ini berlaku kerana orang yang berpuasa memakan pelbagai jenis makanan dan membeli di gerai-gerai yang pemiliknya tidak peka tentang kebersihan. Lagi pun sebahagian daripada penjual di bulan puasa itu bukannya pernah menjadi peniaga melainkan di bulan puasa sahaja.

    Selepas berlalu puasa selama beberapa hari, kerapkali ada pula aduan lain. Ini biasanya timbul daripada mereka yang mengalami masalah sembelit. Sememangnya sembelit merupakan satu masalah kesihatan yang lumrah, khususnya di bulan puasa. Ini berlaku apabila seseorang itu kurang meminum air dan alpa untuk mengambil makanan yang mengandungi serat. Sebaliknya makanan yang manis-manis sahaja yang dikejar sebagai juadah berbuka puasa.

    Salah satu drama yang biasa menjadi buah mulut ialah serangan gastrik. Tetapi sebenarnya gastrik bukanlah sesuatu yang pelik. Oleh kerana pertukaran jadual makan, khususnya pada awal bulan puasa, memanglah ada orang yang perutnya sensitif akan merasa pedih bila tiba tengah hari. Kebanyakan individu menjadi biasa selepas beberapa hari. Bagi mereka yang tidak tahan dengan situasi berkenaan, terdapat beberapa kaedah untuk menghalang serangan sakit perut atau gastrik yang berkemungkinan besar diakibatkan oleh asid dalam perut. Di antaranya ialah dengan mengambil beberapa penawar homeopati dan biokimia tertentu.

    Penyakit-penyakit lain yang kerap ditemui di sepanjang bulan Ramadhan ialah tonsilitis, syanker mulut, sakit kerongkong, batuk, selsema dan lain-lain. Ia boleh menyerang dengan mudah di bulan puasa bagi individu yang tidak peka dengan amalan kebersihan, makanan seimbang dan kesihatan. Apa lagi bagi mereka yang sudah sedia ada penyakit yang dihidapi secara berterusan.

    Wanita yang hamil juga biasa mengalami masalah untuk meneruskan puasa. Masalah tersebut mungkin berkait dengan kesihatan diri ataupun bayi di dalam kandungan. Mereka yang mendapat alahan teruk ketika hamil seperti loya, muntah, sakit perut dan krem harus mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan. Bagi wanita hamil, Islam telahpun menetapkan kaedah-kaedah tertentu yang mengizinkan ibu-ibu meninggalkan puasa dan menggantikannya di kemudian hari.

    Bagi semua individu muslim, mustahak diingatkan bahawa setiap individu harus mengambil jumlah air minuman yang mencukupi di bulan puasa. Kurangkan amalan mengambil terlalu banyak minuman dan kuih-muih yang manis. Sebaliknya banyakkan meminum air suam atau air masak. Begitu juga, janganlah terlalu gelojoh dengan menyumbat sebanyak mungkin makanan sewaktu berbuka puasa.

    Adalah berfaedah sekiranya anda dapat mengurangkan pengambilan minuman berkafein dan merokok. Banyakkan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran hijau. Buah-buahan seperti khurma, buah tin, prun dan limau amat baik dijadikan sajian berbuka puasa dan bersahur sebelum memakan nasi. Makanlah secukupnya di samping memberi ruang untuk kita bernafas dengan selesa.

    Bagi mereka yang merasa makanannya tidak membekalkan zat atau vitamin yang mencukupi, ada baiknya mengambil pil-pil tertentu seperti tablet vitamin B2, vitamin C dan multivitamin ataupun multimineral. Beberapa panduan lengkap berkaitan pemakanan boleh dirujuk kepada pakar pemakanan dan kesihatan maupun hospital.

    Sumber :
    HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

    Tips Pemakanan Pada Bulan Puasa

    Gejala-gejala yang berlaku semasa berpuasa:

    Beberapa perkara akan berlaku disebabkan oleh pembuangan toksin dan bahan buangan ketika kita berpuasa seperti nafas berbau, peluh juga berbau, kulit kering bersisik dan gatal, air kencing pekat dan berbau dan mungkin juga kerap kencing, buang air besar selepas beberapa hari berpuasa, sakit kepala, lenguh badan dan demam (kesan toksin keluar dari lemak ke darah, sebelum keluar dari badan), dan mungkin juga berlaku selsema dan kahak serta lendir dan keputihan.

    Pesanan: Jika gejala ini tidak serius, jangan cuba ubatkan kerana ia akan berhenti dengan sendirinya.

    Cara berbuka dan bersahur yang berkesan:

    (i) Berbuka dengan buah dan air bertapis yang tidak dimasak (guna water-filter).
    (ii) Solat Maghrib terlebih dahulu bagi memberi peluang perut mencerna makanan
    (iii) Makan makanan yang senang hadam dan kurangkan masakan berminyak, berempah dan pedas. Seelok-eloknya makan sayur, tahu dan kekacang.
    (iv) Kurangkan kadar makanan dari biasa
    (v) JANGAN minum air sambil makan. Insya-Allah jika makan secara perlahan-lahan, masalah tercekik tidak akan berlaku.
    (vi) Minum air putih atau teh herba atau minuman yang mengandungi getah anggur, buah kembang semangkuk dan biji selasih sebanyak yang terminum.


    WAKTU SAHUR - elok makan buah dan susu atau sebarang makanan cecair.

    Cara berpuasa yang tidak berkesan:
    (i) Makan terlalu banyak (waktu sahur dan berbuka)
    (ii) Makan makanan yang pedas dan berempah serta payah hadam
    (iii) Makan terlalu banyak daging binatang terutama bagi pengidap batu karang, gout dan alahan.
    (iv) Mengulangi makan sepanjang malam.
    (v) Kurang minum air pada malam hari atau lebih minum air semasa makan
    (vi) Tidur selepas kenyang makan

    Makanan yang menjejaskan khasiat puasa kerana mengandungi bahan kimia:
    (i) Kopi dan teh.
    (ii) Air paip masak yang tidak ditapis.
    (iii) Makanan yang ada bahan pengawet, pewarna, perasa tiruan seperti burger, sosej, mee segera, air tin & kotak, air squash, nugget dan seumpamanya.
    (iv) Makanan masin perlu dielakkan semasa berpuasa kerana ia menyebabkan air bertakung dalam badan (water retention)
    (v) Merokok

    Fasa-fasa puasa yang berjaya: Fasa pertama (2-3 hari): Perut akan terasa lapar, badan cepat letih, cepat marah kerana kadar glukosa dalam darah rendah Fasa kedua (3-14 hari): Kurang selera makan, senang gelap mata, nafas berbau, lidah menjadi putih atau berdaki manakala badan menjadi lesu. Fasa ketiga (14-akhir puasa): Lidah menjadi bersih, nafas hilang bau, selera makan baik, tenaga mula pulih dan kadar glukosa menjadi normal kembali. Di fasa ini juga mental, emosi dan badan semakin optimum dan diri menjadi orang baru. Keadaan puasa begini hanya dicapai oleh mereka yang benar-benar mengawal makan dan minum supaya proses asidosis dan ketosis di dalam badan berjalan lancar.

    Amalan hari raya yang merosakkan manfaat puasa:
    (i) Makan banyak (terutamanya daging, berempah, berlemak dan berminyak)
    (ii) Makan kerap
    (iii) Kuih-muih yang payah dihadam
    (iv) Air yang mengandungi pewarna, perasa tiruan

    Manfaat puasa yang berkekalan:
    (i) Kurang makan kerana perut dah kecut
    (ii) Kesihatan bertambah baik

    Saya akhiri dengan sabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: “Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tiada memperolehi dari puasanya itu, selain dari lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala).”

    Sumber :raiedzall.net

    Tips Bulan Puasa...

    selamat berpuasa buat semua...

    Kalau nak kurangkan dahaga dan lapar di mana kita bekerja seperti biasa amalkan petua berikut, insyaallah kurang lapar dan dahaga.

    1. Mesti sahur.

    2. Ketika nak makan nasi, bacalah selayaknya sebagai seorang Islam.

    3. Gumpalkan nasi sebanyak 3 ketul. Baca Surah Al Ikhlas 1 kali dan makan nasi segumpal. Baca lagi, makan lagi. Jadi 3 kali lah kita baca surah Al Ikhlas.

    4. Dah habis 3 gumpal tu makanlah seperti biasa.

    5. Selepas makan sahur, makan buah kurma 7 biji. Sebelum makan, bacakan selawat 1 dan makan buah kurma, baca lagi makan kurma lagiii..sampailah 7 kali.

    Amalan ini adalah baik untuk orang-orang yg bekerja di tengah panas,seperti buruh kasar dan sebagainya....


    SEBENARNYA :-

    Surah Al Ikhlas itu adalah ayat yg dapat menguatkan segala sendi dan tulang dalam badan kita dengan izin Allah swt.

    Buah kurma itu, 7 biji kalau kita makan dlm sehari, iblis tak akan dekat dengan kita. Dan ianya adalah amalan Rasulullah, selalin dari memberikan tenaga. cubalah dengan izin Allah swt.

    Wallahua'lam bissawaaab.

    Sumber : Pesima.net