Monday, October 13, 2008

CIRI-CIRI, SIKAP, PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB SEORANG ISTERI ...

1. Bertanggungjawab dalam urusan dan bidang sebagai seorang isteri terutamanya terhadap suami.

2. Keutamaan seorang isteri ialah melayan suami dengan ikhlas atau murni kerana Allah semata-mata.

3. Mentaati suami selagi dalam perkara yang dibolehkan. Hanya boleh ingkar dalam perkara-perkara maksiat dan dosa.

4. Sentiasa merendah diri atau tawadhuk kepada suami. Melalui bersikap tawadhuk, bimbingan, teguran dan tunjuk ajar dapat berjalan lancar. Merendah diri juga agar tidak berlaku satu kapal dua nakhoda. Maka akan harmonilah kehidupan keluarga.

5. Isteri mesti sentiasa berusaha menghiburkan suami dalam layanan, sikap, percakapan dan ketaatan.

6. Sebaik-baiknya isteri menyambut kepulangan suami. Dengan cara ini akan menyejukkan hati, menyenangkan hati, menenangkan perasaan dan menambahkan kemesraan.

7. Isteri tidak menuntut sesuatu yang tidak termampu oleh suami kecuali dalam hak yang asasi. Tuntutan yang membebankan suami boleh menganggu perasaan suami, boleh mengeruhkan hubungan. Kalau keterlaluan mendesak, suami boleh terjebak kepada perbuatan dosa.

8. Isteri sentiasa memberi kerjasama kepada suami dalam apa aspek rumahtangga. Sikap suka membantah, ingkar dan kurang memberi kerjasama mudah meretakkan hubungan, boleh berlaku krisis dan membantutkan banyak perancangan keluarga.

9. Mesti berusaha agar dapat bersembahyang jemaah bersama suami. Dari situ nanti akan banyak memperoleh rahmat dan berkat dari Tuhan dan mengeratkan lagi hubungan hati.

10. Isteri mesti menjaga maruah diri sama ada sewaktu di rumah lebih-lebih lagi di luar rumah.

11.Keperluan suami dalam lingkungan rumahtangga hendaklah disediakan oleh isteri. Dalam beberapa hal dan aspek, tidak pula dituntut sebagai wajib, namun di situlah ruang dan peluang bagi seorang isteri mengumpul sebanyak banyak darjat taqwa di sisi Tuhan. Seorang hamba itu hanya dapat mendekatkan diri dengan Tuhan melalui saluran yang bukan perkara fardhu atau wajib, melainkan dalam perkara-perkara lain yang dibuat sebagai usaha mencari bekalan taqwa.

12. Sedangkan lidah lagi tergigit, maka apabila timbul sebarang masalah, cuba dibawa kepada perbincangan bersama. Elakkan dari retak dahulu baru hendak dibincangkan. Kalau retak dahulu, bincang kemudian, keadaan begini kurang berkesan untuk mengatasi masalah.

13.Berpuas hatilah di atas apa sahaja pemberian suami. Perlu berkorban perasaan sekiranya kurang berpuas hati. Jangan korbankan kepentingan kebahagiaan rumahtangga hanya semata-mata mahu memenuhi perasaan sendiri.

14. Kesalahan suami hendaklah dilupakan. Anggaplah jasa dan khidmat suami itu jauh lebih besar berbanding kesilapan yang dilakukan oleh suami. Lebih-lebih lagi lazimnya kesalahan suami itu berlaku sekali sekala. Kadang-kadang bukan disengajakan atau hanya salah faham, atau kerana menghadapi tekanan. Bila gagal melupakan kesalahan suami akan subur dendam kesumat yang boleh mencetuskan huru hara dalam rumahtangga. Ini umpama sumbu mercun yang gagal dipadamkan. Sumbu mercun itu hanyalah sekadar keluar percikan bunga api. Bila tidak dipadamkan, letupan mercun amat kuat bunyinya.

15. Memberi semangat kepada suami. Sesekali berlaku juga lemah semangat kepada suami, bukan lemah jiwa. Dalam situasi demikian, maka isteri hendaklah bersikap seperti Sayidatina Khadijah ketika Rasulullah SAW mula menerima wahyu. Sayidatina Khadijah menyelimutkan Rasulullah SAW dan memberi semangat serta perangsang dengan tugas besar yang baru diterima oleh Rasulullah SAW.

16. Ketika suami bercakap, tidak kira dalam apa topik dan aspek, maka isteri perlu mendengar dengan teliti dan sepenuh hati. Ini juga sebagai tanda hormat, memuliakan suami serta tanda merendah diri kepada suami.

17. Cacat cela, kelemahan, aib, kejahatan suami tidak didedahkan kepada sesiapa pun, hatta kepada ibu bapa dan kawan sendiri.

18. Isteri juga hendaklah berusaha membesar dan mengutamakan Tuhan. Hendaklah sama-sama menjadi hamba yang hidup bertuhan dalam apa jua aspek kehidupan.

No comments: